Insyaallah...jika di izinkan lagi 43 hari atau sebulan lebih aku bakal bergelar seorang isteri kepada seorang lelaki. Sebelum diijab kabul kan ingin ku titip kan surat buat bakal suamiku...bakal pemimpin rumahtanggaku & bakal imam hidupku. Sekadar surat yang biasa2 tapi semoga dapat memberi pengertian & peringatan bersama. ...bacalah wahai bakal suamiku....
Kepada bakal suami ku yang dicintai,
Kita bakal hidup
bersama tidak lama lagi. Jadi, ada beberapa perkara yang aku harus perjelaskan
kepada mu agar kau lebih memahami aku. Pertama sekali, aku bukanlah
satu-satunya pilihan yang kamu ada. Aku tak pernah memandang diriku sebagai
pilihan terbaik untuk dirimu. Yang aku tahu cuma satu. Aku akan berusaha
memahami dirimu yang bakal ku kenali lebih dekat apabila kita hidup sebumbung nanti.
Dan aku akan cuba berusaha menjadi isteri yang taat dan solehah di bawah bimbinganmu. Insyaallah...Aku juga tahu kamu
bukanlah yang paling sempurna di kalangan lelaki yang pernah aku kenali.
Namun kau harus tahu mengapa aku memilih dirimu. Aku tidak mengangkat kamu
sebagai yang terbaik semasa aku memilih. Sebaliknya, aku merasakan dirimu
berpotensi untuk membimbing aku ke jalan yang lebih baik. Aku melihat perhubungan kamu dengan PENCIPTAmu yang membolehkan kamu membawa aku ke jalan yang benar. Dengan cara kamu melayan ibu bapamu berserta seluruh ahli keluargamu meyakinkan aku kamu mampu menjadi menantu terbaik. Dengan cara kamu bergurau bersama kanak2 juga meyakinkan aku kamu mampu menjadi bapa yang penyayang. Namun itu bukan bermakna aku menganggap kamu tidak akan berubah dan sentiasa
baik di mataku. Tapi cukuplah dengan aku berdoa agar kamu sentiasa begitu, dan
aku yakin ALLAH mendengar doa ku.
Bakal suamiku yang
dikasihi,
Aku punya keluarga
sebelum menikahi kamu, bahkan hubunganku amat rapat bersama ibu bapaku dan adik beradikku kerana mereka adalah keluarga ku. Maka aku berharap akan kekal dapat berhubung dengan mereka
sehingga mati. Aku harap kamu mengerti ikatan keluarga tidak dapat dijual beli
dengan wang ringgit. Janganlah disekat aku berjumpa dengan mereka, sebagaimana
aku sentiasa memberi ruang untuk kamu dekat dengan keluargamu. Janganlah
dizalimi aku dengan menggunakan kuasa vetomu untuk mengawal pergerakanku,
sehingga aku tidak dibenarkan berjumpa ahli keluargaku.
Aku anak sulung yang
yang menjadi harapan keluarga sebelum aku berjumpa dengan kamu, dan aku harap
keadaan itu tidak akan berubah setelah aku jadi teman hidupmu. Sebagai wanita
moden, aku tidak akan mengharapkan huluran wang berlebih-lebihan daripada mu
kerana aku punya gaji hasil titik peluhku untuk aku berbelanja memanjakan
diriku. Cukuplah nafkah sekadar cukup, tidak bermewah-mewah sehingga merosakkan
diriku menjadi riak dan takbur. Maka aku harapkan kau juga bertolak ansur
sekiranya aku memperuntukkan wang gajiku untuk ibu bapaku di kampung. Kita
masing-masing punya tanggungjawab kepada ibubapa, walau tidak wajib bagiku
sebagai anak perempuan, fahamilah niatku membantu ibubapaku, sebagaimana
cita-citamu untuk memberi kehidupan senang kepada ibu bapamu.
Bakal suamiku yang
disanjungi,
Aku juga berharap agar
kamu menjaga hubunganmu dengan ibu bapamu, kerana restu ibu bapa itu perlu
dalam menjalani hidup di muka bumi ini. Jangan sekali menyakiti hati mereka dan
sentiasalah mencari redha mereka kerana sekiranya mereka redha TUHAN akan
mersetui perjalanan kita. Sama lah jua hubungan kamu dengan ibu bapaku.
Janganlah hanya kerana aku sudah sah menjadi milikmu, maka kamu ketepikan mereka. Sesungguhnya
kerana mereka lah aku membesar dengan sempurna. Berterima kasihlah kerana
mereka tabah & sabar mendidik aku sehingga dewasa begini. Aku juga akan
membalas budimu dengan melayan ibu bapamu dengan baik sebagaimana
tanggungjawabku terhadap ibu bapaku sendiri. Sesungguhnya
wajib ke atas kita untuk menghormati mertua sebagaimana ibu bapa sendiri.
Bakal suamiku yang
budiman,
Perlengkaplah dirimu
sepenuh-penuh ilmu agama dan ilmu dunia. Atau
pun sama-sama kita nanti mempelajari dan mendalami ilmu ketuhanan dan
kemanusiaan. Terlalu banyak kisah penceraian yang menakutkan aku yang berpunca
dari salah faham, ungkit mengungkiti, kewangan dan faktor luaran yang lain. Sama-sama
kita mengingati satu sama lain seandainya kita lupa dan lalai. Aku harap engkau
akan menjadi suami bertanggungjawab dambaan semua gadis. Fikirkan baik buruk
setiap tindakanmu. Sekiranya aku melihat sesuatu yang kurang enak, terimalah
teguranku dengan hati terbuka. Begitu juga kamu, bila merasakan sesuatu yang
kurang selesa maka tegurlah aku dengan cara yang baik, bukan menghina.
Andai ditakdirkan aku mengandungkan benihmu, janganlah engkau
membebankan aku dengan perkara-perkara yang menjejaskan emosiku. Janganlah
berkasar terhadap ku. Memang syurga isteri dibawah tapak kaki suami. Semua
aturan yang ditetapkan oleh kamu wajib aku patuhi. Aku mohon supaya
berpada-padalah dengan peraturan-peraturan tersebut. Pentingnya persefahaman
dan perbincangan untuk menjamin masa depan keluarga kita.
Bakal pemimpinku sayang,
Poligami itu memang hak dirimu yang mutlak dan tiadalah kuasa aku
menghalang hukum TUHAN. Namun sekiranya sampai keperluanmu berpoligami,
berterus teranglah dengan diriku agar tidak aku terkejut dengan hasratmu. Aku
memahami perihal keperluan lelaki sehingga dibenarkan nikah lebih daripada
satu, dengan syarat berlaku adil. Adil itu bukan pada kamu yang mengadili, tapi
kami para isteri yang diadili. Maka berlaku adillah semampu kamu, kerana aku
percaya apabila timbul kemahuan itu, kamu sudah cukup muhasabah diri,
menghakimi diri sendiri dengan kelayakanmu. Tidaklah sanggup aku melihat lelaki
yang aku cintai berjalan dengan bahu senget sebelah di hari pengadilan nanti.
Akhir sekali,
aku sedar akan perangaiku yang keras kepala dan mungkin akan sering
bercanggah pendapat denganmu. Aku amat menghargai kesabaranmu bila setiap kali
kita bertelagah, kamu masih terus menyayangi dan memaafkan ketelanjuranku
berkata-kata. Antara kita memang akan terdapat banyak perbezaan, lebih-lebih
lagi sekiranya kita mempunyai jurang usia yang sangat berbeza. Terima kasih juga buat kamu kerana masih mahu mengambil aku sebagai
isterimu. Namun janganlah kiranya kesabaran itu hilang selepas akad nikah kelak,
kerana sejauh mana usia kita berbeza, selama itulah masa yang aku perlu untuk
mencapai tahap kematangan dan cara pemikiranmu.
Aku adalah rusukmu yang bengkok, maka luruskanlah aku dengan kasih
sayang. Aku tidak diciptakan dari kaki untuk dialasi, bukan dari kepala untuk
dijunjung, tapi dekat dibahu untuk dilindung, dekat pula di hati untuk
dikasihi. Maka kasihilah aku seadanya, selagi layak aku dikasihi. Bukan
berlebihan sehingga tepu, bukan pula kurang sehingga layu.
Cukuplah setakat ini coretan suratku buatmu. Semoga kau berbahagia & bersyukur memiliki aku sebagai suri dalam hidupmu. Dariku....bakal isterimu....